Wednesday 22 February 2012

Perkaitan Sikap dan Tingkah laku Dengan Konsep Kendiri

Dalam dunia pendidikan yang semakin mencabar, bukan mudah
ibu bapa dan guru memainkan peranan mengubah sikap dan
tingkah laku seseorang kanak-kanak atau murid. Pelbagai nasihat
dan dorongan telah diberi namun individu tersebut masih juga bersikap
acuh tak acuh terhadap apa jua nasihat dan teguran yang diberi.             
Keluhan ibu bapa dan komen daripada guru perlu dijadikan sandaran
untuk kaunselor bertindak bijak berasaskan senario ini. Mengapa nasihat
tidak memberi sebarang bekas kepada tingkah laku murid di sekolah?
Adakah generasi X ini merupakan individu yang sukar dibentuk atau ibu
bapa atau guru yang kurang memahami tuntutan mereka?
Ahli-ahli psikologi mengatakan bahawa pembentukan sikap dan tingkah
laku seseorang individu ada kaitannya dengan konsep kendiri. Justeru
nasihat yang diberi dikatakan tidak dapat mendorong seseorang itu
mengubah konsep kendiri mereka. Sebagai contoh, " Kamu mesti buat
banyak latihan kalau nak lulus dalam matematik tidak dapat mengubah
konsep kendiri murid itu yang percaya bahawa ia sememangnya lemah
dalam matematik. " Nasihat yang diberi juga gagal mendorong murid
membuat ramalan-ramalan positif tentang peluangnya untuk lulus dalam
matematik pada masa hadapan. Malah ia mengukuhkan lagi ciri-ciri
negatif dalam diri seseorang bahawa ia sememangnya lemah dalam
subjek tersebut. Perubahan sikap, pemikiran dan tingkah laku hanya
berlaku sekiranya seseorang itu mengubah konsep kendirinya. Jika
nasihat-nasihat yang diberikan selaras dengan konsep kendiri individu
itu, individu itu akan berubah dengan sendirinya.

No comments:

Post a Comment